Showing posts with label soal jawab agama. Show all posts
Showing posts with label soal jawab agama. Show all posts

Monday, 18 January 2016

Hukum Bergurau Dengan Talak!!!

SOALAN INBOX:

Salam ustaz. .ada soalan.

Bab talak..Ttg seorang lelaki yg habaq pada kawan dia bila kawan dia tanya mana isteri dia
Dia bgtau..."aku dah cerai bini aku"..tanpa niat...tp niat nak tipu kawan dia je...
Persoalannya...adakah jatuh talak dgn lafaz sebegini...dan apakah kaedah yg dibuat jika sabit jatuh? Mohon pencerahan.
.

JAWAPAN:

1) Berdasarkan talak yang dilafazkan di atas maka jatuh lah talak satu, walaupun ia dilafazkan atas niat gurauan. Ini kerana lafaz talak dilafazkan secara jelas(sarih) bukan kiasan(kinayah).

2) Ulama bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas(sarih) tidak memerlukan niat talak/cerai, iaitu ia tetap jatuh talak walaupun tanpa niat, hukum ini berdasarkan hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " ثَلَاثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ : النِّكَاحُ ، وَالطَّلَاقُ ، وَالرَّجْعَةُ " . رواه أبو داود، والترمذي، وابن ماجه.

Maksudnya: Saidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, " Tiga perkara yang serius dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius, iaitu nikah, talak, dan rujuk”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

3) Talak di atas dikira sebagai talak raj'ie iaitu hubungan suami isteri yang sudah bercerai yang masih ada peruntukkan untuk rujuk kembali selagi masih dalam iddah. Kalau iddah dah tamat dan ingin kembali semula maka perlu nikah semula dengan wajib memenuhi semua syarat dan rukun nikah.

4) Melainkan talak yang dilafazkan berbentuk talak "bainunah kubra" iaitu talak tiga, maka tiada lagi peruntukan rujuk.

5) Manakala lafaz yang berbentuk kiasan(kinayah) seperti "Kau bebas dari hidupku" atau "kita dah tak ada apa-apa lagi". Maka lafaz ini dikira jatuh talak jika si suami melafazkan kiasan ini dengan niat untuk menceraikan isterinya. Jika niat selain dari niat talak maka tiada jatuh talak

Wallahu a'lam
Sumber :Ustaz Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

Soal Jawab Agama :Mandi Wajib Tiba-Tiba Terkencing

SOALAN INBOX:

Salam ustaz, macamana kalau tengah mandi wajib tiba-tiba terkencing, perlu ke saya ulang balik mandi tu?
.

JAWAPAN:

1)Menurut al-Imam al-Hisni di dalam karangannya 'Kifayatul Akhyar':

لو أحدث في أثناء الغسل جاز له أن يتم غسله ولا يمنع الحدث صحته، لكن لا يصلي حتى يتوضأ.

Maksudnya: "Jika seseorang itu berhadas ketika mandi (junub) maka dia harus menyempurnakan mandian itu dan hadas tidak menghalang sahnya mandian itu. Tetapi dia tidak boleh solat sehingga lah berwudu'".

2) Berdasarkan kenyataan di atas, sesiapa yang sedang mandi wajib tiba-tiba berhadas seperti kencing, terkentut,  sentuh kemaluan dengan telapak tangan atau sentuh isteri maka dalam ilmu fiqh perkara yang membatalkan wudu' tidak membatalkan mandi junub. Oleh dia boleh meneruskan mandian itu tanpa mengulangi anggota tubuh yang sudah dimandikan.

3) Akan tetapi sesiapa yang berhadas ketika sedang mandi maka mandi junubnya adalah sah, namun selepas itu jika dia ingin mengerjakan solat maka wajib lah berwudu' dahulu.
.

Wallahu A'lam
Sumber : Ust Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

Soal Jawab Agama - WAJIB LENGKAPKAN AL-FATIHAH?

WAJIB LENGKAPKAN AL-FATIHAH?-

SOALAN INBOX

Salam ustaz, Sbg contoh klu imam baca fatihah pastu baca surah pendek kita tak sempat habiskan fatihah. Adakah kita perlu rukuk atau habiskan fatihah baru rukuk?
.

JAWAPAN

1) Jika seseorang makmum mengikuti imam dari awal lagi iaitu takbiratul ihram bersama imam, lalu imam memulakan rukuk dan makmum belum sempat menghabiskan al-Fatihah. Maka wajib baginya menghabiskan al-Fatihah sebelum imam melengkapkan dua rukun iaitu rukuk dan kemudian iktidal.

2) Sebelum imam memulakan sujud(setelah iktidal) maka dia wajib rukuk walaupun al-Fatihah belum sempurna. Jika dia masih meneruskan al-Fatihah ketika imam sudah mula sujud maka solatnya batal melainkan dia berniat mufaraqah dari imam. Kerana dalam mazhab Syafi'ie, lewat mengikuti imam atau mendahuluinya sebanyak dua rukun antara perkara yang membatalkan solat.

3) Situasi di atas bagi makmum yang normal, namun bagi makmum yang mempunyai keuzuran iaitu masalah bacaan seperti orang gagap membaca al-Fatihah dalam tempoh yang terlalu lambat, maka menurut ulama mazhab syafi'ie golongan ini diberi kelonggaran untuk menghabiskan al-Fatihah dalam tempoh TIGA rukun solat yang panjang iaitu 'rukuk' dan 'sujud'(manakala 'iktidal' dan 'duduk antara dua sujud' adalah rukun yang pendek).

4) Jika seeorang itu masbuq iaitu terlewat mengikuti imam sebagai contoh imam sudah selesai membaca al-fatihah dan dia baru bertakbiratul ihram. Dalam situasi ini apabila imam sudah mula rukuk maka dia tidak wajib melengkapkan al-Fatihah, namun disunatkan rukuk bersama-sama imam walaupun al-fatihah tidak sempurna kerana ini kelonggaran bagi makmum yang lewat.

5) Makmum yang lewat masuk jemaah tidak disunatkan membaca doa iftitah kerana keutamaan perlu berikan kepada yang wajib iaitu bacaan al-Fatihah.

Rujuk: فتح العلام بشرح مرشد الأنام
.

Wallahu A'lam
Sumber : Al fadhil Ustaz Abu Ruqayyah Ba 'Alawi